banner

banner

Tuesday, December 28, 2010

:: Syarat Qabul Solat ::

Dinyatakan dalam kitab Sulamuttaufiq:

Dan disyaratkan berserta dengan syarat-syarat yang lain untuk diterima sembahyang di sisi Allah, bahawa niat sembahyang itu tiada lain kerana Allah sahaja, dan adalah makanannya, pakaiannya dan tempat sembahyangnya itu halal, dan hadir hatinya dalam sembahyang, tiada apa-apa dari sembahyangnya kecuali yang difikirkan adalah sembahyangnya, dan tiada ia ujub tentangnya.”

Keterangan:

Di sini pengarang kitab menerangkan kepada kita bahawa selain ada syarat sah sembahyang dan syarat wajib sembahyang berserta dengan rukun-rukunnya, ada satu lagi syarat untuk sembahyang kita diterima Tuhan. Atau dalam ertikata lain dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Bila kita sudah memenuhi syarat wajib, syarat sah dan rukun sembahyang, lahirnya sembahyang kita sudah selesai. Namun, bila dibawa kepada Tuhan, selagi syarat-syarat tambahan itu tidak dipenuhi, maka sembahyang kita itu seperti tiada nilainya. Tuhan tak pandang sembahyang kita. Makanya sembahyang kita adalah tertolak.

Syarat-syarat tambahan ini disebut sebagai syarat qabul dan ia adalah seperti berikut:

1. Niat kerana Allah – Menetapakan yang niat kita bersembahyang itu benar-benar kerana kita cinta dan takutkan Allah. Benar-benar untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan selainNya. Dikekalkan niat kerana Allah itu dari sebelum sembahyang hingga kepada selesai sembahyang.

2. Makanan halal – Maksudnya kita menjaga agar sebarang makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah halal. Di sini ada dua pengertian, a) Bahan makanan itu halal, suci dan bersih b) Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan halal itu bukan dari sumber yang haram. Maksud Firman Allah: Makanlah oleh kamu daripada makanan yang baik (halal) dan perbuat olehmu akan amal yang soleh. (Al-Mukminun: 51)

3. Pakaian halal – Biarpun sah sembahyang kita dengan pakaian yang dicuri atau pakaian yang dibeli daripada hasil yang haram, tetapi hakikatnya Allah tidak menerima sembahyang kita itu. Sabda Rasululllah: “Barangsiapa yang bersembahyang mengenakan pakaian yang diperolehi dengan 10 dirham, sedangkan ada 1 dirham daripadanya adalah haram, maka tiadalah Allah menerima sembahyangnya” (Riwayat Ahmad).

4. Tempat sembahyang halal – Sumber pendapatan dalam membina tempat sembahyang seperti masjid dan surau mesti halal. Maksud Firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang berasaskan taqwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik bagi engkau mendirikan sembahyang di dalamnya” (At-Taubah:108).

5. Hadir hati dalam sembahyang – Membawa pengertian khusyuk. Iaitu kita mengetahui, memahami justeru menghayati setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang. Sehingga dapat merasa-rasa dengan Tuhan dalam sembahyang seperti rasa takut, rasa cinta, rasa hina diri dan rasa gementar.

6. Tiada ujub – Janganlah sampai kita bangga dengan bacaan kita atau dengan sembahyang kita. Hingga sampai membawa rasa diri hebat, rasa diri baik dan rasa diri itu sudah istimewa di sisi Tuhan. Patutnya kesan daripada sembahyang lebih menajamkan rasa hamba dalam diri seperti rasa berdosa dan rasa takut dengan Tuhan.

7. Imam yang alim lagi warak – Ini satu perkara yang tidak disebutkan dalam kitab tersebut. Tapi adalah sangat penting bagi kita dalam bersembahyang jemaah, maka imam yang mengimami sembahyang kita adalah orang alim (berilmu) lagi warak (yang takutkan Tuhan). Ini seperti yang disabdakan Rasulullah: ”Jika kamu gembira untuk sembahyang kamu diterima, hendaklah mengimami sembahyang kamu itu orang yang baik (alim & warak), kerana dia adalah penghubung kamu dengan Tuhan kamu (Riwayat Thabrani).

Taqaballahu minna wa minkum - Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.





No comments:

Post a Comment