banner

banner

Friday, July 27, 2012

KONTEMPORARI BERKENAAN RAMADHAN

Assalammualaikum Wbt dan Salam Sejahtera,


KONTEMPORARI BERKENAAN RAMADHAN
 
 
1) Darah keluar dari tubuh

Samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
 
Hukumnya

Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhammad ‘Uqlah).

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sahih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Rasulullah s.a.w berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (HR. Al-Bukhari) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradhawi). Malah ini juga pandangan majoriti mazhab kecuali Hanbali. (Bidayatul Mujtahid)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalamkemaluan tadi, kerana illah atau faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Tetapi bagi wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan merangsang nafsu syahwat, maka ia membatalkan puasa,  tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Muhammad ‘Uqlah). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).

3) Pil elak haid untuk puasa penuh:

Hukumnya

 Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang pakar dalam hal tersebut.

4) Penyembur gas (inhaller) untuk pesakit lelah(asma):

Hukumnya

 Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa (Majma’ A-Fiqh Al-Islami) di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama di seluruh dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. 
Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhammad ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.



No comments:

Post a Comment