banner

banner

Friday, August 10, 2012

Keadaan Ibadah Para Salafus Soleh Di dalam Bulan Ramadhan


Sesungguhnya Baginda Nabi s.a.w  telah memuji golongan soleh yang hidup pada zaman baginda dan zaman selepas beberapa kurun daripada kurun baginda dan di dalam sebuah hadith nabi yang berbunyi :
{ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِى ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ }
Maksudnya : “ Sebaik-baik kurun adalah kurunku kemudian golongan yang hidup selepas mereka kemudian golongan yang hidup selepas mereka pula.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Apa yang dimaksudkan oleh Baginda s.a.w sebagai sebaik-baik kurun itu ialah para sahabat, kemudian golongan selepas mereka iaitu para tabi’ien dan golongan selepas mereka pula iaitu golongan tabi’ tabi’ien r.a [Rujuk : Sahih Muslim Syarahan Imam Nawawi m/s : 318-319 juzuk : 16 terbitan Darul Qalam ]
Golongan-golongan yang dipuji oleh baginda s.a.w ini telah menjadikan Bulan Ramadhan sebagai suatu medan perjuangan memperhebatkan amalan-amalan soleh mereka yang kemungkinan tidak termampu dilakukan oleh ummat nabi Muhammad pada hari ini.
SUASANA MEMBACA AL-QURAN
v  Sesungguhnya Al-Aswad Bin Yazid [1] mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 2 malam di Bulan Ramadhan dan beliau hanya akan tidur pada waktu di antara selepas Maghrib dan Isya’ dan beliau mengkhatamkan Al-Quran di luar Bulan Ramadhan pada setiap 6 malam!
 
v  Imam Malik Bin Anas jika tibanya Bulan Ramadhan beliau akan menghentikan pengajaran Ilmu Hadith dan akan membuka mushaf Al-Quran dan berkata : Bulan ini (Ramadhan) adalah Bulan Al-Quran!

v  Sufyaan Ats-Tsauri pula pada Bulan Ramadhan akan menyisihkan diri daripada semua orang dan fokus membaca Al-Quran.

v  Imam Syafi’e pula mengkhatamkan Al-Quran pada Bulan Ramadhan sebanyak 60 kali! Iaitu setiap hari beliau mengkhatamkan sebanyak 2 kali iaitu sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam dan kesemuanya itu dikhatamkan di dalam solat! [Diriwayatkan oleh Abu Nuaim di dalam Hilyatul Auliya’ dan Al-Baghdadi di dalam Tarikhul Baghdad daripada Ar-Rabi’ Bin Sulaiman]

v  Zabid Al-Yami [2] apabila tibanya Bulan Ramadhan beliau akan mengambil Al-Quran dan mengumpulkan para sahabat beliau.

v  Al-Walid Bin Abdul Malik [3] pula mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 malam dan pada Bulan Ramadhan sebanyak 17 kali khatam.

v  Qatadah [4] pula mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 7 malam dan mengkhatamkanya pada Bulan Ramadhan pada setiap 3 malam dan akan mengajar manusia lain Al-Quran pada bulan mulia ini, dan pada 10 malam yang terakhir beliau mengkhatamkanya pada setiap malam!

v  Imam Ahmad Bin Hanbal pula mengkhatamkan Al-Quran pada setiap minggu tetapi di Bulan Ramadhan beliau mengkhatamkanya pada setiap minggu sebanyak 2 kali khatam, iaitu pagi sekali dan petang pula sekali.

v  Imam Waki’ Bin Al-Jarrah [5] pula mengkhatamkan Al-Quran pada setiap malam sekali khatam tetapi beliau bersolat Dhuha pula sebanyak 12 rakaat.

v  Imam al-Bukhari pula mengkhatamkan Al-Quran di Bulan Ramadhan pada setiap hari di waktu siang sekali khatam dan mengkhatamkanya pula pada waktu qiyamullail selepas Solat Sunat Terawih dengan sekali khatam pada setiap 3 malam.
KEADAAN QIYAMULLAIL
v  Daripada As-Saieb bin Yazid [6] berkata : Umar r.a  pernah menyuruh Ubay Bin Ka’ab dan Tamim Ad-Daari mengejutkan manusia lain berqiyamullail di Bulan Ramadhan, dan beliau merupakan seorang yang mampu membaca sehingga seratus ayat lebih, dan kami pada waktu itu akan menopang menggunakan tongkat disebabkan terlalu lama berdiri, dan kami akan balik selepas fajar. [ Riwayat Al-Baihaqi ]
 
v  Daripada Malik bin Anas daripada Abdullah Bin Abi Bakar [7], aku mendengar ayahku pernah berkata : Dahulunya jika kami balik daripada qiyamullail di Bulan Ramadhan pastilah para khadam kami akan tergesa-gesa menyiapkan juadah sahur kerana risau fajar akan menjelma. [ Riwayat Imam Malik di dalam Al-Muwattho’ ]

v  Daripada Daud Bin Al-Hasin [8] daripada Abdur Rahman Bin Hurmuz [9] : “Sesungguhnya para qari berqiyamullail dengan membaca surah Al-Baqarah pada 8 rakaat, jikalau ada qari yang membaca surah tersebut pada 12 rakaat mereka menganggapnya telah meringankan solat tersebut  [ Riwayat Al-Baihaqi ]

v  Berkatanya Nafi’ : “Sesungguhnya Ibnu Umar r.a  berqiyamullail di rumahnya ketika Bulan Ramadhan, jika semua orang sudah balik daripada masjid beliau akan mengambil segelas air dan pergi ke Masjid nabi sallallahu alaihi wassalam dan tidak akan keluar daripada masjid tersebut sehinggalah waktu subuh.” [ Riwayat Al-Baihaqi ]

v  Daripada Nafi’ Bin Umar Bin Abdullah [10] :  Aku mendengar Ibnu Abi Mulaikah berkata : “Aku pernah berqiyamullail bersama orang lain di Bulan Ramadhan dan aku baca pada rakaat pertama surah Al-Faathir dan tidak ada seorang pun yang mengadu kepadaku bahawa aku telah memberatkan bacaan di dalam solat. [ Riwayat Ibnu Abi Syaibah ]

v  Daripada Yazid Bin Abdullah Khusaifah [11] daripada Saieb Bin Yazid : “Ketika para sahabat di zaman pemerintahan Umar Al-Khattab mereka berqiyamullail di Bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat dan membaca sebanyak 200 ayat lebih dan mereka menopang pada tongkat-tongkat mereka ketika di zaman Utsman Bin Affan disebabkan terlalu lama berdiri. [ Riwayat Al-Bahaqi ]

v  Berkatanya Ibnul Jauzi : Peringkat para salafus soleh di dalam qiyamullail ada 7 peringkat :
 
1.    Ada yang menghidupkan seluruh malam tersebut, hinggakan ada yang bersolat Subuh dengan wudhuk Isya’ (berterusan melakukan ibadah sepanjang malam )
2.    Ada yang menghidupkan malamnya pada setengah malam
3.    Ada yang menghidupkanya pada sepertiga malam, berdasarkan sebuah hadith baginda nabi s.a.w : “ Solat yang paling disukai di sisi Allah ialah solat Nabi Daud A.S, yang hanya tidur pada setengah malam, dan bangun pada sepertiga malam dan tidur pada seperenamnya”  [ Muttafaqun ‘alaihih ]
4.    Ada yang melakukanya pada seperenam malam atau seperlima malam.
5.    Ada juga yang tiada bilangan malam tertentu, tetapi melakukanya sehingga rasa mengantuk dan tertidur, jikalau mereka terjaga mereka menyambung kembali ibadah mereka.
6.    Ada yang hanya bersolat di waktu malam sebanyak 4 rakaat atau 2 rakaat sahaja.
7.    Ada yang hanya beribadah di antara Maghrib dan Isyak sahaja.
 
v  Berkatanya Imam Al-Ghazali : Terdapatnya pembantu-pembantu untuk bangun qiyamullail yang mana terbahagi kepada dua iaitu zahir dan batin :
(1) Pembantu qiyamullail yang zahir ada 4 iaitu :
·         Jangan banyak makan maka akan banyak minum dan akan memberatkan badan qiyamullail
·         Jangan memenatkan diri di siang hari dengan perkara-perkara yang tidak memberikan faedah
·         Jangan meninggalkan qaylulah ( tidur sekejap di siang hari ) kerana ianya membantu untuk qiyamullail
·         Janganlah melakukan dosa yang tidak bertaubat daripadanya pada siang hari kerana perkara tersebut bakal mengharamkan kamu bangun pada malamnya
(2) Pembantu yang batin pula ada 4 iaitu :
·         Hati yang tidak berhasad dengki sesama manusia dan bid’aah yang melampau serta kecintaan kepada dunia
·         Ketakutan kepada Allah dan tidak terlalu panjang angan-angan yang sia-sia.
·         Hendaklah dia mengetahui ganjaran-ganjaran Allah terhadap hamba yang bangun pada malam harinya [12]
·         Kecintaan kepada Allah dan kekuatan iman yang kuat yang mana dia cuba untuk tidak bercakap walaupun sepatah melainkan hanya bermunajat kepada Allah Azza Wa Jalla.
       
[1] Beliau ialah Al-Aswad Bin Yazid Bin Qis An-Nakha’ie dan dipanggil Abu Abdur Rahman Al-Kufi, merupakan di antara tabi’ien yang besar, beliau sezaman dengan baginda tetapi tidak pernah berjumpa denganya, wafat di Kufah pada 75H, berguru dengan sahabat yang besar-besar seperti Bilal Bin Rabah dan para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan lain-lain, dihukumkan perawi hadith yang tsiqah oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan merupakan di antara rijal Imam Bukhari dan Muslim.
[2] Beliau ialah Zabid Bin Al-Harith Al-Yami atau dikenali dengan Abu Abdur Rahman Al-Kufi, sezaman dengan para tabi’ien yang kecil dan wafat pada 122H, merupakan seorang perawi yang tsiqah dan seorang ‘abid yang taat, pernah berguru dengan Ibrahim An-Nakhai’e.
[3] Al-Walid bin Abdul-Malik bergelar Al-Walid I yang dilahirkan pada tahun 668H dan meninggal di Damaskus pada 23 Februari 715H pada umur 46/47 tahun ialah Khalifah Bani Umayyah yang memerintah antara 705 – 715H.
[4] Qatadah Bin ‘Adamah As-Sadusi dikenali dengan Abu Khitab Al-Basri wafat pada tahun 100H, perawi yang tsiqah dan merupakan seorang tabi’ien, pernah berguru dengan Imam Malik, Muzani dan Hasan Al-Basri.
[5] Dikenali sebagai Abu Sufyan Al-Kufi, merupakan di antara tabi’ tabi’en yang kecil, wafat pada 196H, perawi hadith yang tsiqah, ‘abid dan hafiz, merupakan guru kepada Imam Syafiey ketikamana beliau mengembara di Baghdad.
[6] Beliau juga dikenali sebagai Al-Asadi atau Al-Laitsi, merupakan seorang sahabat nabi yang kecil, tidak banyak meriwayatkan hadith ( rujuk : Taqribut Tahzib ) dan wafat pada tahun 91H, merupakan pekerja Umar Al-Khattab di pasar Madinah, berkatanya Ibnu Abi Daud : beliau merupakan sahabat yang paling akhir wafat di Madinah
[7] Beliau ialah Abdullah Bin Abi Bakar Al-Qadhi, merupakan seorang tabi’ien kecil yang wafat pada 135H, perawi yang tsiqah, dan berkatanya Abdullah Bin Ahmad Bin Hanbal : kata-katanya merupakan penawar, berguru dengan Anas Bin Malik dan anak muridnya pula Imam Malik Bin Anas.
[8] Dikenali dengan Abu Sulaiman Al-Madani, beliau sezaman dengan para tabi’ien yang kecil, wafat pada 135H, berkata Ibnu Hajar : perawi yang tsiqah kecuali jika hadithnya diriwayatkan daripada ‘Ikrimah maka hadith itu munkar, dituduh dengan bermanhaj Al-Khawarij, Berkatanya Abu Hatim : Jika bukan kerana Imam Malik meriwayatkan daripadanya, sudah pasti akan ditinggalkan hadithnya! Berguru dengan Abdur Rahman Bin Hurmuz Al-A’raj.
[9] Dikenali dengan Abu Daud Al-Madani, merupakan seorang tabi’ien pertengahan, perawi nabi yang tsiqah, wafat pada 117H di Iskandariah.
[10] Merupakan di antara tabi’ tabi’ien yang besar yang wafat pada 169H di Mekah, sepakatnya para ulama’ hadith mengatakan beliau merupakan perawi hadith yang tsiqah, berguru dengan Abdullah Bin Abi Mulaikah, anak murid beliau antaranya : Waki’ Bin Al-Jarrah dan Abdullah Bin Mubarak.
[11] Merupakan anak saudara kepada Saieb Bin Yazid dan merupakan di antara tabi’ien yang kecil dan merupakan perawi hadith yang tsiqah dan ‘abid yang taat, anak murid beliau antaranya : Sufyaan Ats-Tsauri dan Sufyaan Bin Uyaynah.
 

No comments:

Post a Comment