banner

banner

Friday, August 10, 2012

MENIKMATI RAMADHAN DENGAN PENUH TAQWA WALAUPUN ……

 
Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran. Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat kembalinya kita.
 
Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir.
 
Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun,ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.
 
Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah r.a sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.
 
Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah s.a.w menangani perasaan Aisyah r.a. apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:
 
Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”.
(Riwayat Muslim)
 
Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah S.W.T. tetapkan ke atas kita (anak-anak perempuan Adam a.s.), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah S.W.T. sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apa yang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.
 
Redha
 
Redha di atas apa yang Allah S.W.T. perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk tidak berpuasa ketika sedang haid.
 
Redha di atas apa yang Allah S.W.T. tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah S.W.T. telah ciptakan kita dan apa yang Allah S.W.T. fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah S.W.T. tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah S.W.T. FirmanNya yang bermaksud: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ”
(An-Nisa’:32)
 
Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha, anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”
(Riwayat Muslim)
 
Rindu
 
Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah S.W.T. khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Selain itu, masih terdapat amalan-amalan yang boleh dilakukan ketika haid. Berikut disenaraikan antara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas ( pada hakikatnya masih banyak lagi );

1. Berdoa
2. Beristighfar
3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.
4. Berselawat kepada Nabi
5. Mendengar bacaan al-Quran
6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu
8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis
9. Bersedekah
10. Menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa, terutamanya keluarga sendiri.
11.  Menasihati, mendorong orang lain untuk berpuasa seperti mengejutkan keluarga bangun sahur.
12. Membuat kebajikan kepada orang lain iaitu ambil peluang untuk membantu keluarga atau kawan-kawan yang berpuasa bagi yang memerlukan pertolongan terutamanya dari sudut tenaga. Ini juga dikira sedekah.

Oleh itu, usahlah risau wahai Muslimah sekalian walaupun didatangi haid ketika Ramadhan, amal ibadah masih terbuka dan ganjarannya masih boleh diraih dengan penuh taqwa, asalkan ada ilmu dan tahu cara untuk mencapainya.

Pesanan ikhlas :

Walaupun dibolehkan makan & minum ( bagi orang haid & nifas ) di bulan Ramadhan, hormat pada orang yang berpuasa masih dituntut, kalau boleh ahli keluarga pun tidak tahu terutama sekali si anak kecil tu...

 Selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan ini....

No comments:

Post a Comment