banner

banner

Wednesday, August 14, 2013

BERDOA KEPADA PEMBERI SEDEKAH DAN ZAKAT

Firman Allah S.W.T:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ...
Maksudnya : “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dengan berdoalah untuk mereka...”[Al-Taubah:103]
Ibnu Katsir berkata makna ayat وَصَلِّ عَلَيْهِمْ adalah mendoakan dan memohon ampun kepada mereka.

Abdullah bin Abu Aufa r.a. berkata:
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أَوْفَى قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ قَوْمٌ بِصَدَقَتِهِمْ قَالَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِمْ فَأَتَاهُ أَبِي أَبُو أَوْفَى بِصَدَقَتِهِ فَقَالَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى
 
Maksudnya : “Apabila satu kaum ada memberikan sedekah, Rasulullah s.a.w. mendoakan mereka: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِمْ  (Ya Allah limpahkanlah keberkatan kepada mereka). Lalu datanglah bapaku Abu Aufa memberikan sedekahnya. Maka baginda pun berdoa: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى  (Ya Allah limpahkanlah keberkatan kepada keluarga (keturunan) Abu Aufa)”. [H.R: MUSLIM]

KETERANGAN HADIS:
 
Imam al-Nawawi berkata: doa ini adalah selawat yang sesuai dengan firman Allah S.W.T. وَصَلِّ عَلَيْهِمْ. Menurut mazhab kami yang masyhur dan mazhab majoriti ulamak, hukum mendoakan pemberi zakat itu sunnah dan tidak wajib, kerana Nabi s.a.w. pernah mengutus Muaz dan sahabat yang lain untuk mengambil zakat, tetapi tidak memerintahkan mereka untuk mendoakan orang yang memberikan zakat.
 
Sebagai umat Islam yang mengharapkan keredhaan Allah, kita diseru supaya bersifat tawaduk dan rendah diri. Sedekah yang dihulurkan pula bukan bertujuan untuk mengharapkan balasan berbentuk pujian atau wang ringgit. Kita juga dilarang bersikap riak, menunjuk-nunjuk atau mengungkit-ungkit setiap pemberian kita kerana amalan yang tidak ikhlas itu tidak akan sampai kepada Allah dan tiada ganjaran pahala.
 
Dapatlah disimpulkan di sini, bahawa sedekah itu adalah suatu amalan yang mulia. Di dalam hadith yang lain ada menyebutkan bahawa jika mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala pahala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah amal jariah dan doa anak yang soleh. Semoga Allah S.W.T. menerima segala amal kebajikan kita di dunia ini dan mendapat doa kepada mereka yang kita sedekahkan.  
 

No comments:

Post a Comment