banner

banner

Thursday, March 27, 2014

Poligami


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI 


Ta'addud (poligami), adalah satu perkataan yang bila disebut akan membuatkan sesetengah manusia tersenyum manakala sesetengah yang lain berkerut dahi. Poligami adalah antara perkara yang disyariatkan harus dalam Islam. 

Allah SWT berfirman: “... maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (QS: An-Nisa’, ayat 2)

Poligami sering dilihat jijik, dipersalahkan dan dihina berdasarkan keadaan sekeliling yang memaksa masyarakat memandangnya begitu. Masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai adegan dan pemasalahan konflik poligami sama ada secara realiti atau lakonan di kaca televisyen.

Masyarakat jarang dihidangkan dengan paparan keluarga poligami yang bahagia, damai, bantu-membantu, bertolak ansur, manis dan memudahkan. Kerana realitinya pengamal poligami kebanyakannya mungkin bukanlah mereka yang layak seperti disyaratkan oleh Allah SWT. Mereka mungkin bersedia dari sudut batin tetapi tidak dari sudut rohaninya.

Syarat-syarat berpoligami sering dikesampingkan demi mencapai cita-cita berpoligami yang menjadi idaman sejak sekian lama. Nafsu dan syahwat berlegar menguasai hati dan minda supaya terus menempuhnya tanpa perlu direnung lagi. Akibatnya, terjadilah poligami yang hina dan dihina. Wanita yang mengharapkan poligami dapat menyelamatkan mereka, terus hampa.

Namun, di sana ada begitu ramai kalangan wanita yang perlukan kasih sayang, perlukan suami, perlukan perlindungan daripada seorang lelaki. Bilangan wanita yang terus melebihi lelaki semakin bertambah saban tahun. Nisbah ini semakin ketara apabila dilihat secara lebih dekat di menara gading atau pusat pengajian lain.

Kebanyakan wanita yang berjaya sukar mendapatkan pasangan sesuai bagi mendirikan rumah tangga apatah lagi menginginkan pasangan yang baik. Lebih ketara lagi kepada janda (ibu tunggal) yang bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Ramai di kalangan mereka muda serta masih mengimpikan sebuah keluarga.

Namun hakikatnya, mendapat pasangan yang masih bujang ketika mereka sudah bergelar janda dengan sejumlah anak, impian ini semakin sukar. Apakah jawapannya? Tentulah poligami. Dilema ini semakin menjadi rumit apabila memikirkan hakikat poligami semasa serta pandangan serong masyarakat terutama kalangan wanita sendiri terhadap amalan ini.

Kemungkinan besar, derita ibu tunggal ini akan berterusan terpaksa dipendam tanpa sempat menikmati hidup berkeluarga atas halangan terbabit. Wanita ini terus hampa. Ke mana perginya lelaki yang baik? Ke mana perginya ustaz yang begitu lantang menyampaikan dakwah? Mengapa mereka tidak tampil dan mengamalkan poligami sebenar sebagai contoh seumpama sunnah Nabi SAW?

Antara alasan munasabah yang paling kerap diutarakan ialah berkaitan dengan undang-undang mengenai poligami. Undang-undang dilihat terlalu sulit lagi menyulitkan bagi mereka yang ingin berpoligami.

Akhirnya, mereka hanya memendamkan hasrat poligami demi kerana tidak sanggup melalui prosedur yang merumitkan. Wanita yang memerlukan pembelaan atau perlindungan lelaki yang layak dan baik, sekali lagi hampa.

KESIMPULAN :
Poligami adalah jalan penyelesaian yang disediakan Allah untuk hamba-Nya. Hamba-Nya sebagai khalifah, haruslah mengatur jalan ini supaya cantik dan sesuai. Semua syaratnya harus dipenuhi dan dipelihara tanpa dihujani tambahan perkara yang menyulitkan. Kalau seorang isteri rasa mempunyai suami yang sangat baik...apalah salahnya kebaikan suaminya itu dikongsi dengan wanita yang lain dan jangan tamak kerana sebenarnya ia bukan milik mutlak, hanya pinjaman dari Allah jua.
Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment