banner

banner

Tuesday, April 29, 2014

REJAB



Tidak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Rejab sebagai persediaan kita dalam menyambut bulan Ramadhan. Seiring dengan kehadiran bulan Rejab, pelbagai hadith-hadith tentang kelebihan dan ganjaran beramal dalam bulan Rejab telah diedarkan dalam alam maya. Oleh itu, marilah sama-sama kita melihat kembali status hadith dan bagaimana cara beramal dengan apa yang telah diteladani oleh Baginda Rasul s.a.w.

Amalan khusus Pada Bulan Rejab

Tidak ada pengkhususan dalam ibadah di bulan Rejab kerana tidak ada hadith yang sahih berkaitan dengan galakkan  dan anjuran dalam melakukan ibadah pada bulan Rejab dengan ganjaran  tertentu. Akan tetapi digalakkan melakukan ibadah sunat dengan sebanyaknya seperti pada bulan-bulan yang lain. Ada pun dengan kelebihan tertentu dan fadhilat tertentu, maka para ulama menyangkal dakwaan tersebut dan hadith-hadith berkaitan dengan fadhilat-fadhilat tertentu adalah DHA’IF dan PALSU.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata :
Tidak ada satu hadith pun berkaitan kelebihan-kelebihan bulan Rejab baik pada melakukan ibadah puasa nya pada waktu-waktu tertentu, dan mendirikan qiamullail yang dikhususkan pada bulan Rejab. ( Kitab Tibyan Al-Ujab Fima Warada Fi Fadli Rejab; Ms 6 )

Antara hadith-hadith Dha’if dan Palsu yang digunakan dalam Kelebihan Rejab

1-      Rejab Bulan Allah
رجب شهر الله ، وشعبان شهري ، ورمضان شهر أمتي
“Rejab bulan Allah, Sya’ban Bulan ku, Dan Ramadhan bulan ummat ku”

Keterangan Hadith : Ibnu Jauzi meletakkan hadith ini di dalam Kitab hadith-hadith palsu, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan hadith ini adalah hadith palsu seperti di dalam “Tibyan Al-‘ujab fi ma warada fi Rajab” , Al-Albani menyatakan hadith ini adalah bertaraf Dhaif .

2-      Rejab mempunyai kelebihan seperti al-Quran melebihi berzikir

فضل شهر رجب على الشهور كفضل القرآن على سائر الكلام
Kelebihan Sya’ban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya” .
 
Keterangan Hadith : Ibnu Hajar al-Asqalani : Hadith Palsu, Imam Al-Saghani : Hadith tentang kelebihan Rejab adalah palsu. Imam Ibnu Aljauzi meletakkan hadith ini dalam Kitab hadith Palsu.
 
3-      Sungai di dalam Syurga bernama Rejab

إن في الجنة نهرا يقال له رجب ماؤه أشد بياضا من اللبن وأحلى من العسل من صام يوما من رجب سقاه الله من ذلك النهر
“Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu”.
 
Keterangan Hadith : Hadith bertaraf Palsu, Imam Az-zahabi menyatakan bahawa Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya ( Hadithnya ) adalah Batil. Al-Albani menyatakan bahawa hadith ini adalah Hadith Bathil .
 
Dan pelbagai lagi hadith-hadith yang palsu dan dha’if dalam menentukan fadhilat-fadhilat bulan Rejab yang sebenarnya tidak bersandarkan kepada hadith yang sahih. Kita akan membincangkannya pada siri yang ketiga . Oleh itu, marilah kita bersama-sama beramal dengan amalan yang telah jelas datangnya daripada Rasulullah s.a.w. dalam merangkul seberapa banyak pahala yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment