banner

banner

Monday, June 2, 2014

REJAB: ANTARA TRADISI DAN SYARIAT




'ATIRAH BULAN REJAB

'Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan 'Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti dibawah.

Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang 'Atirah maka jawab baginda:

Sesiapa yang mahu menyembelih 'Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih.(H.R. al-Nasa'i dalam sunannya, Kitab al-Fara' wa al-'Atirah)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkorban dan menyembelih 'Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu 'Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban.( H.R. al-Tirmidzi dalam sunannya, Kitab al-Adhahi)

Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan 'Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Tidak ada lagi Fara' dan juga 'Atirah. Fara' ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan 'Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab
( H.R. al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab al-Aqeeqah)

Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:

Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-'Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda "Tidak ada lagi Fara' dan juga 'Atirah" sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan 'Atirah.(Dinukil dari kitab al-Bida' al-Hauliyyah karya 'Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 241).

Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-'Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah.

No comments:

Post a Comment